Jelajah DFKL

 

Wartawan: Nani
Jurugambar: Shareza Shafiee

Edisi ketiga penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 kini bermula dengan siri jelajah pertamanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada minggu lalu. Bahang kehangatan festival anjuran TV3 dan TV9 itu dapat dirasai apabila lebih ribuan pengunjung hadir ke siri jelajah yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut itu.

Menariknya, siri jelajah yang diadakan bagi merancakkan lagi DFKL 2016 bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar serta orang ramai untuk mengetahui program-program yang direncanakan pada festival kali ini, malah mereka juga turut berpeluang mendengar sendiri perkongsian ilmu oleh tetamu jemputan di samping beramah mesra dengan selebriti popular tanah air.

Jelajah DFKL UiTM Shah Alam

Antara selebriti yang hadir memeriahkan siri jelajah pertama yang bertempat di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam itu ialah pelakon Hafrez Adam, Nadia Brian serta pelakon drama bersiri ‘Kau, Aku, Kita’, Syarul Ridzwan dan juga Janna Nick. Pelbagai aktiviti dilakukan antara peminat dan juga artis seperti pertandingan berlakon, sesi perkongsian pengalaman, sesi bergambar serta sesi soal jawab di mana pengunjung berpeluang untuk menemubual artis kesayangan mereka.

Bagi pelakon yang popular menerusi drama ‘Akulah Balqis’ yang sedang hangat ditayangkan di slot Akasia TV3, Nadia Brian, pembabitan sulungnya dalam siri jelajah DFKL 2016 adalah satu pengalaman yang amat menerujakan lebih-lebih lagi apabila dia berpeluang kembali semula ke tempat pengajiannya.

Jelajah DFKL UiTM Shah Alam

“Alhamdulillah, saya datang balik di DATC yang juga boleh dikatakan sebagai rumah kedua saya. Jika dulu saya pelajar di sini, sekarang saya kembali sebagai seorang pelakon. Sambutan di sini sangat hangat. Bagi saya, penganjuran siri jelajah ini sangat bagus kerana selain dapat memperoleh ilmu mengenai dunia seni, ia juga dapat mendekatkan lagi peminat dengan selebriti di mana ada sesi ramah mesra dan juga pelbagai aktiviti menarik,” ujar Nadia kepada Tonton Extra.

Sementara itu, Syarul Ridzwan turut berkata, “DFKL merupakan satu platform di mana orang yang sangat-sangat hebat berkumpul untuk memberi ilmu seperti pengarahan dan lakonan. Peluang yang diberi ini dijadikan tempat untuk saya belajar serta memperbaiki apa kelemahan saya dari segi lakonan. Menerusi penganjuran sebelum ini, saya juga pernah join dengan abang Heykal Hanifah untuk sesi uji bakat lakonan. Walaupun saya dah bergelar pelakon, tapi bila melihat peserta yang hadir, ada pergerakan yang boleh saya apply dalam lakonan saya,” kongsi Syarul mengenai pengalamannya di siri jelajah DFKL 2016.

Jelajah DFKL UiTM Shah Alam

Selain beramah mesra dengan selebriti, orang ramai yang hadir juga turut berpeluang untuk menyertai pencarian bakat baharu dalam dunia lakonan di mana sesi uji bakat tersebut diadili oleh penerbit serta pelakon popular, Sheila Rusly dan juga orang kuat dari pihak stesen TV3 dan TV9. Difahamkan, sepanjang tiga hari sesi uji bakat dilakukan, dianggarkan lebih 200 orang hadir mencuba nasib. Selain merasai pengalaman baru, peserta uji bakat juga dapat menimba ilmu berguna daripada Sheila Rusly yang turut berkongsi tips bagaimana untuk menjadi seorang pelakon yang bagus.

“Untuk jadi seorang pelakon yang bagus kena ada ilmu kerana pelakon bukan hanya sekadar membaca skrip sahaja. Mereka yang datang ke uji bakat juga perlulah ada persediaan dan guna peluang ini dengan sebaik mungkin. Bayangkan berapa ramai orang datang nak cungkil bakat, jadi bila dah ada peluang ini, kena buat yang terbaik. Lagipun, bukan semua dapat peluang jadi pelakon, jadi bila dah jadi pelakon nanti, jangan lupa bumi dipijak,” tutur Sheila Rusly yang turut menyarankan peserta untuk menghadiri bengkel lakonan yang dianjurkan DFKL.

Jelajah DFKL UiTM Shah Alam

Bengkel drama DFKL 2016 yang bakal berlangsung pada 17 dan 18 Mac 2016 bakal menampilkan nama-nama besar dalam industri seni seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Umie Aida, Ellie Suriaty, Azman Haji Yahaya (Jinggo), Ahmad Idham dan ramai lagi di mana mereka ini akan berkongsi pengalaman serta tip berguna mengenai selok belok dunia lakonan dan juga pengarahan. Jangan ketinggalan untuk mengikuti siri jelajah seterusnya di UiTM Lendu, Melaka pada 27 Januari 2016, jam 10 pagi hingga 5 petang. Untuk maklumat lanjut mengenai DFKL 2016 boleh layari laman web rasmi www.dfkl.com.my.

 Klik Untuk Artikel Asal

 

Live arts, visualising dreams

Contacts

  Faculty of Film, Theatre & Animation
Puncak Perdana Campus, Universiti Teknologi MARA. 40150, Shah Alam Selangor Darul Ehsan Malaysia
  +603.7962.(ext. 2402/2414/2411/2410/2392)
  +603.7962.2405
  This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Keep in Touch