UiTM MENANDATANGANI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN (MOU)
DENGAN STMIK AMIKOM JOGJAKARTA, INDONESIA

Dalam usaha menyahut dasar kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menerusi pengeluaran kumpulan sumber manusia kreatif dan berkemahiran, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan bekerjasama dengan Sekolah Tinggi Manajemen Informatika & Komputer atau lebih dikenali sebagai STMIK AMIKOM Jogjakarta bagi melatih para pelajar menerusi program pertukaran dan mobiliti selain daripada kolaborasi penyelidikan dan projek terutamanya dalam bidang filem dan animasi.

MoU 3

Pada 16 September 2016, UiTM menerusi Fakulti Filem, Teater & Animasi (FiTA) telah menandatangani satu Perjanjian Persefahaman (MoU) selama dua tahun dengan STMIK AMIKOM Jogjakarta. Perjanjian Persefahaman ini bakal memperkukuhkan jalinan kerjasama antara dua negara selain daripada meningkatkan kolaborasi projek dan penyelidikan antarabangsa, pertukaran staf dan pelajar termasuk penerbitan dan inovasi produk komersial dalam displin filem serta animasi.

Perjanjian Persefahaman ini telah ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said dan Presiden STMIK AMIKOM Jogjakarta, Professor Dr. Mohammad Suyanto M.M., dan disaksikan oleh Dekan FiTA, YBhg. Dato’ Profesor A. Razak Hj. Mohaideen and Ketua Bidang Akademik STMIK AMIKOM, Drs. Bambang Sudaryatno M.M.

MoU 1

Turut hadir dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara UiTM Dengan STMIK AMIKOM Jogjakarta adalah Ahli Staf dari Kementerian Komunikasi dan Informatika Indonesia, Ir. Woro Indah Widiastuti dan delegasi UiTM iaitu Encik Khairul Anwar Mat Kassim (Timbalan Dekan Penyelidikan & Jaringan Industri FiTA), Encik Ahmad Faizul Abd. Rashid (Ketua Pusat Pengajian Filem FiTA), Encik Muhammad Azhar Abdullah (Ketua Pusat Pengajian Animasi FiTA) termasuk Encik Raja Mohammad Fikri Raja Azman (Pegawai Khas Naib Canselor).

UiTM menerusi Fakulti Filem, Teater & Animasi (FiTA) dan STMIK AMIKOM juga bakal menghasilkan satu program Latihan Industri yang terperinci bagi membolehkan pelajar-pelajar menerima pengalaman sebenar industri dan mempelajari dari tenaga akademik serta pakar berkemahiran tinggi.

MoU 6

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said semasa berucap ketika Majlis Perjanjian Persefahaman tersebut di STMIK AMIKOM Jogjakarta, Indonesia, kolaborasi istimewa ini akan menyediakan satu landasan yang besar kepada jaringan yang mampan antara kedua-dua institusi pengajian tinggi dan penjanaan pendapatan dalam bidang multimedia kreatif. FiTA UiTM dan STMIK AMIKOM Jogjakarta juga bakal memulakan kolaborasi penjanaan pendapatan menerusi penghasilan satu projek khas animasi 13 episod bertajuk “Cheng Ho”.

MoU 4

STMIK AMIKOM Jojakarta, Indonesia merupakan sebuah universiti swasta berpusat di Jogjakarta dan bernaung di bawah Yayasan AMIKOM. STMIK AMIKOM juga merupakan institusi pendidikan tinggi Indonesia yang pertama menerbitkan filem cereka animasi berjudul “Battle of Surabaya” menerusi syarikatnya, MSV Pictures.

Disediakan Oleh: Khairul Anwar Mat Kassim

 

Live arts, visualising dreams

Contacts

  Faculty of Film, Theatre & Animation
Puncak Perdana Campus, Universiti Teknologi MARA. 40150, Shah Alam Selangor Darul Ehsan Malaysia
  +603.7962.(ext. 2402/2414/2411/2410/2392)
  +603.7962.2405
  This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Keep in Touch