SIKAP, DAYA SAING DAN KEBERANIAN RESEPI UTAMA KEJAYAAN DALAM BIDANG PENULISAN KREATIF
Oleh : Mohd Syuhaidi Abu Bakar 

 


Kepentingan sikap suka berdaya saing, keberanian untuk mencuba, mendahulukan pendidikan formal dalam bidang penulisan dan memastikan bakat serta minat seiring menjadi topik perbincangan hangat di dalam program Wacana Seni anjuran Jabatan Penulisan Kreatif, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), UiTM Kampus Puncak Perdana pada 10 September yang lalu. Sesi yang mencatatkan kehadiran lebih 200 pelajar itu dikendalikan oleh penggiat seni kreatif terkenal yang juga pensyarah jabatan, Abdul Ghafar Ibrahim menampilkan tiga tetamu khas, iaitu, En Muhammad Aisamuddin Md Asri (Aisa Linglung), Cik Rafidah Abdullah dan alumni jabatan, Encik Haironizan Mohd Idris.


Menurut En Muhammad Aisamuddin, Pengasas & Pengarah Urusan syarikat penerbitan LejenPress, kepentingan sikap suka berdaya saing dan keberanian untuk mencuba jika seseorang mahu berjaya sebagai penulis. Tambah beliau, penulis di Malaysia sudah membuktikan bahawa kerjaya mereka mampu memberikan pendapatan luwayan selagi sikap positif itu dikekalkan. Perkara ini disokong oleh Cik Rafidah Abdullah, yang terkenal sebagai salah seorang pengacara asal rancangan wanita muda 3R. Beliau berkata, pendapatannya sebagai penulis skrip telahpun membuka mata keluarganya yang agak skeptikal seawal kariernya bermula dalam bidang penulisan kreatif. Tambah beliau, pendidikan yang formal mengenai bidang tersebut juga adalah penting kerana ia membolehkan seseorang penulis untuk berada dalam landasan yang betul. Beliau juga menekankan kepentingan untuk mengawal dan mengatur masa kerana ia komponen penting untuk berjaya sebagai seorang penulis.

Menurut Encik Haironizan, penulis novel dan skrip yang lebih terkenal dengan nama penal Rehal Nuharis pula, beliau terhutang budi kepada ibubapanya yang merupakan pendorong utama untuk beliau terus menulis walaupun pelbagai cabaran mendatang seawal beliau melibatkan diri dalam bidang berkenaan. Katanya lagi, selain ibubapa, pendidikan formal di Jabatan Penulisan Kreatif, FiTA juga telah membuka jalan untuk beliau mengenali penggiat dalam industri kreatif di Malaysia, sekaligus menyifatkan komponen pembelajaran di dalam UiTM adalah yang terbaik kerana ia berteraskan kepentingan pelajar dan industri di negara ini. Kesemua panel turut menasihatkan para pelajar untuk menumpukan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran di universiti dan menggunakan segala peluang yang ada untuk menangkis tanggapan yang mengatakan penulis di Malaysia, ‘tidak boleh cari makan’.

 

Live arts, visualising dreams

Contacts

  Faculty of Film, Theatre & Animation
Puncak Perdana Campus, Universiti Teknologi MARA. 40150, Shah Alam Selangor Darul Ehsan Malaysia
  +603.7962.(ext. 2402/2414/2411/2410/2392)
  +603.7962.2405
  This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Keep in Touch